Latar belakang Pertempuran Panipat Pertama

Dasar perluasan kuasa kerajaan Islam telah mengubah keseimbangan kuasa di Asia. Salah satu daripada kesannya ialah pengislaman puak-puak Turk di Asia Tengah. Kerajaan Islam sedikit sebanyak telah merosot dan puak Turk yang hidup secara nomad mula bermigrasi menuju ke semua arah. Pada pertengahan abad ke-10, kawasan utara India sentiasa diceroboh dan diserang oleh puak Turk. Pada tahun 1206, pencerobohan yang beransur-ansur ini telah membawa kepada penubuhan sebuah kerajaan yang dikenali sebagai Kesultanan Delhi di bahagian utara India. Kerajaan baru ini berjaya menangkis pencerobohan Mongol pada abad ke-12 dan awal abad ke-13. Pada tahun 1320, Kesultanan Delhi mencapai kemuncaknya apabila ia menguasai sebahagian besar India berada di bawah kekuasaannya. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh pemimpin yang tidak cekap, pemberontakan dalaman dan pencerobohan Tamerlane telah melemahkan kerajaan ini. Pada penghujung kurun ke-14, hanya bahagian utara India berada di bawah kekuasaannya. Sebuah dinasti baru yang berketurunan Afghan iaitu Lodi telah berkuasa dan memantapkan semula Kesultanan Delhi pada kurun ke-15. Namun, kerajaan itu masih berada dalam tempoh kemerosotan.

Asia Tengah berada dalam kekacauan apabila ramai pengganti kepada Tamerlane bersaing sesama mereka untuk merebut empayarnya. Salah seorang daripadanya ialah Zahīr ud-Dīn Muhammad yang hanya baru berusia sebelas tahun apabila beliau mewarisi kedudukan pemerintah kota Ferghana daripada bapanya pada tahun 1494. Penakluk ini kemudiannya dikenali sebagai Babur yang membawa maksud harimau dalam bahasa Parsi. Beliau seterusnya berjaya mengambil alih pusat kota tumpuan di kawasannya, Samarkand semasa berusia 16 tahun. Musuh-musuh Babur kemudian membalas serangan menyebabkan beliau hilang kawalan ke atas kawasan tersebut. Beliau terpaksa untuk mencari tempat perlindungan di mana-mana. Setelah menempuh pelbagai kesukaran, Babur akhirnya berjaya membentuk sebuah tentera kecil dan menguasai Kabul pada tahun 1504.

Kempen-kempen Kesultanan Delhi dan Babur.

Babur sangat bercita-cita untuk meluaskan kekuasaannya dan beliau menumpukan perhatiannya terhadap India. Pada tahun 1519, beliau telah sampai ke Sungai Chenab yang terletak di Pakistan moden. Dinasti Lodi pula sedang bergelut dengan perselisihan dalaman apabila beberapa orang perwakilannya telah memberontak ke atas Sultan Ibrahim Lodi. Mereka yang memulakan pemberontakan ini telah meminta bantuan daripada Babur yang akan nanti memulakan pencerobohannya. Kawasan Punjab bertukar tangan bergalak kali sehingga peperangan menguasai kawasan ini pada tahun 1525. Ibrahim Lodi meninggalkan Delhi pada awal tahun berikutnya dan beliau mula bergerak ke arah utara. Babur pula mara menuju ke Panipat pada 12 April. Kedua-dua belah pihak ini saling bertentang antara satu sama lain selama lapan hari dan pertempuran yang akan menentukan nasib kawasan ini berlaku pada 20 April 1526.